SYDNEY : Seorang lelaki Australia menyokong kempen
kesedaran kanser kulit dengan cara yang tersendiri menjual janggutnya
dengan harga A$1 juta (RM2.94 juta).
Scott Maggs atau lebih dikenali sebagai Jimmy Niggles, mula menyimpan
janggut ‘luar biasanya’ selepas rakan karibnya, Wes Bonny meninggal
dunia akibat melanoma (sejenis kanser kulit) di lehernya yang merebak ke
otak ketika baru berusia 26 tahun.
“Kami selalu melakukan aktiviti bersama, pergi ke pantai, bermain bola sepak dan tenis bersama.“Apabila dia mengetahui dia menghidap melanoma di lehernya, dia
mencukur janggutnya dan menyangka dia akan merasa lebih baik untuk
seketika. Semuanya berlaku begitu pantas,” kata Jimmy.
Walaupun kisah mengenai Wes digunakan dalam iklan kempen kesedaran
kanser kulit di televisyen Australia, Jimmy mahu melakukan sesuatu yang
lebih lagi untuk menyedarkan orang ramai mengenai penyakit berkenaan.
“Selepas Wes meninggal dunia, saya mengambil keputusan melakukan sesuatu
bagi menyampaikan mesej mengenai kanser kulit yang boleh menyerang
sesiapapun. “Sebelum ini, tidak ada sesiapa yang menyimpan janggut. Saya
dan beberapa rakan membuat keputusan melakukannya dan apabila ada yang
bertanya mengenainya, kami akan menceritakan kisah Wes,” kata Jimmy.
<
Inisiatif “This Is Beard”, mendorong Jimmy berkempen, termasuk di
kawasan pantai, mengajak mereka berjanji melakukan pemeriksaan kulit
sebelum bergambar bersama mereka.
Di samping itu, orang ramai di seluruh dunia menghantar gambar mereka menyimpan janggut dalam usaha menyokong kempen berkenaan.
Jimmy menyifatkan janggut sebagai ‘aset paling berharga buat lelaki.’
“Bukan sahaja sebagai lambang maskulin dan karya seni yang berada pada
kelasnya yang tersendiri, janggut ini sudah dan akan terus menyelamatkan
banyak nyawa,” kata Jimmy ketika dalam satu temu bual. – AFP