Senarai nama kumpulan
kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan mereka akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri , kata menteri berkenaan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ia akan diumum dalam waktu terdekat selepas proses pewartaan selesai dibuat.
"Kami dah ada senarai nama kumpulan yang dikategorikan sebagai
pertubuhan haram serta senarai aktiviti jenayah dilakukan," katanya
kepada pemberita selepas menerima kunjungan ahli kongres Amerika
Syarikat Eni Faleomavaega di sini, Isnin.
Ahmad Zahid berkata langkah mendedahkan senarai itu kepada umum ialah
untuk membolehkan masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh
dalam usaha menangani jenayah.
"Ia juga untuk membangkitkan kesedaran bahawa masyarakat perlu bersama-sama mendokong usaha polis membanteras jenayah," katanya.
Menerusi senarai itu juga, beliau berkata masyarakat dapat mengetahui
bahawa kegiatan kongsi gelap bukan hanya membabitkan sesuatu kaum
sebaliknya melibatkan kaum-kaum lain.
"Ramai yang mengatakan kongsi gelap hanya membabitkan kaum India sedangkan kongsi gelap Melayu dan Cina juga banyak," katanya.
Mengenai Ops Cantas, Ahmad Zahid berkata operasi itu dijalankan di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Pulau Pinang.
"Tumpuan turut diberikan di seluruh negara dan polis sudah bersiap
sedia untuk bertindak kerana telah menghidu beberapa lagi jenayah
terancang yang akan dilakukan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menjelaskan keselamatan
keseluruhan rakyat lebih penting daripada menjaga jumlah mereka yang
akan dikenakan pemakaian peranti pengawasan elektronik (EMD).
"Dalam hal ini bukan soal hak asasi manusia tetapi bagaimana
identifikasi untuk menentukan keamanan itu dapat dilaksanakan di negara
kita," katanya.
Beliau mengulas mengenai EMD yang akan digunakan ke atas penjenayah
tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), menerima kritikan pihak tertentu.
EMD bertujuan mengesan suspek jenayah terancang dan kejam bagi
memastikan mereka tidak melakukan jenayah lain semasa dalam jaminan. - BERNAMA