Home » » Kebaikan cuka epal pada kesihatan

Kebaikan cuka epal pada kesihatan

Ramuan kesihatan tradisional masih lagi digunakan dalam era perubatan mo­den. Antara yang menjadi tumpuan ialah cuka epal yang digunakan hippocrates sebagai tonik rawatan pada 400 tahun Sebelum Masihi.
Kini, para saintis mula meneliti minuman kesihatan ini dari perspektif baru dan memberikan pendedahan mengenai faedahnya. Malah, kumpulan penyelidik dari Jepun mendapati asid asetik dalam cuka epal mengaktifkan gen yang menjadi kunci penghasilan enzim pengoksidaan asid lemak.


Enzim ini bertindak sebagai pemangkin yang meningkatkan metabolisme dan ia menghalang tubuh menyimpan lemak dan memecah serta melarutkan lemak tubuh sedia ada.

Penemuan ini berdasarkan satu kajian di Universiti Sydney, Australia iaitu kumpulan yang me­ngambil dua sudu cuka epal setiap hari mengalami pengurangan kenaikan dan penurunan mendadak tahap gula dalam darah.

Ia berlaku disebabkan kandungan kalium yang tinggi di dalam cuka epal. Mineral beralkali ini dibuktikan mampu meningkatkan sensitiviti sel terhadap insulin yang bertindak mengawal selia glukosa dalam badan.

Bagi mengawal berat badan dan mengurangkan obesiti, mengambil cuka epal tiga kali sehari berupaya menyingkirkan lemak. Caranya cukup mudah iaitu campurkan dua sudu cuka epal bersama satu hingga dua sudu madu dengan segelas air.

Cuka epal mampu meningkatkan tahap keremajaan kulit dalam masa beberapa minit saja. Caranya, cuci muka dengan air suam kemudian lekapkan tuala yang dibasahkan dengan air panas selama tiga minit.

Seterusnya, basahkan tuala lain dengan campuran cuka epal (satu sudu cuka epal dicampur dengan satu gelas air) dan lekapkan tuala ini pada muka. Tutup tuala ini dengan tuala yang dibasahkan dengan air panas dan biarkan ia selama 10 minit pada muka. Buka kedua-dua kain dan gunakan tuala kasar untuk menggosok kulit dengan lembut mengikut gerakan ke atas. Ia membantu menanggalkan sel mati dan membuatkan kulit kelihatan lebih muda dan berseri.

Faedah penggunaan cuka epal turut dirasai melalui penggunaan secara luaran, terutama jika digunakan pada rambut. Ia membantu menjadikan rambut lebih bersinar dan merawat masalah kelemumur.

Rambut mempunyai kadar pH yang bersifat asid dan mempunyai tahap pH ideal pada skala 4.5 hingga 5.5. Bilasan yang dicampurkan dengan cuka epal akan membantu menyeimbang­kan tahap pH rambut dan menyingkirkan sisa yang terbentuk hasil penggunaan produk penggayaan dan syampu murah.

Bilasan juga akan me­nutup sisik kutikel dan melindungi setiap helai rambut yang memantulkan cahaya menjadikan rambut lebih berseri, lembut dan senang untuk diurus.

Caranya, sediakan air bilasan rambut dengan memasukkan 75 mililiter cuka epal ke dalam satu liter air. Gunakan air bilasan ini setiap kali selesai mencuci rambut iaitu sebelum melakukan bilasan terakhir. Biarkan ia seketika untuk lebih perapian sebelum rambut dibilas bersih.

Produk penjagaan rambut semula jadi ini boleh digunakan satu atau dua kali seminggu atau sekerap yang mungkin. Jangan risaukan bau cuka setiap kali selepas membuat bilasan kerana ia akan hilang sebaik rambut kering.

Cuka epal terbaik diperbuat daripada epal asli yang ditanam secara organik kerana ia tidak memiliki bahan kimia dan pengawet, sebaliknya mengandungi ‘ibu cuka’ dan tidak menjalani proses pempasturan.

Ibu cuka adalah bahan semula jadi berbentuk agar-agar yang terhasil sewaktu proses penapaian. Jenama terkemuka, Bragg mengeluarkan cuka epal organik dan tidak ditapis, dipanaskan mahupun dipastur.

Ia diperbuat daripada epal yang dibesarkan secara organik dan dihancurkan kemudian dibiarkan matang di dalam tong kayu bagi mening­katkan kualiti penapaian semula jadinya.-mymetro
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Artikel Terkini

Receive Updates Via Facebook
×