POLEWALI MANDAR - Biasanya kanak-kanak gemar meminum susu, makan cokelat atau biskut.
Namun, bagi Abdillah Syarif yang berusia tujuh tahun dan berasal dari
Polewali Mandar, Sulawesi Barat, dia sangat gemar memakan ubat nyamuk.
Dalam sehari, Abdillah atau nama samarannya Adit itu mampu
menghabiskan sebungkus ubat nyamuk. Ibu bapa Adit sudah berusaha untuk
menghilangkan tabiat buruk anaknya itu tetapi bukan saja tidak berhasil,
malah, ketagihannya kepada ubat nyamuk semakin bertambah.
Tabiat aneh Adit menyebabkan anak keempat pasangan Syarifuddin dan
Nurlina itu menjadi terkenal di desanya di Sabang Subik, Kecamatan
Balanipa.
Adit mula gemar memakan ubat nyamuk ketika berusia lapan bulan. Pada
mulanya, Adit yang belum pandai berjalan ketika itu, mendekati ubat
nyamuk dan tiba-tiba memakannya.
Hingga kini, dia jadi ketagih dan tiada sehari pun dilalui tanpa
memakan ubat nyamuk. Dia juga melakukan tabiat itu secara diam-diam
kerana takut dimarahi ibu bapanya.
“Enak dan manis,” katanya ketika ditanya mengapa dia gemar memakan ubat nyamuk.Menurut sumber dari Harian Metro, usaha orang tuanya untuk
menghentikan tabiat pelik anak mereka tidak berhasil. Walaupun sudah
menyorokkannya di tempat lain, Adit akan mendapatkan ubat nyamuk dari
rumah jiran mereka.
“Biasanya kalau tidak menemukan ubat nyamuk di rumah, dia akan
mencurinya di rumah jiran,” kata Syarifuddin. Nurlina pula mengatakan
tabiat Adit itu mungkin bawaan daripadanya.
“Dulu ketika hamilkan Adit, saya memang gemar mencium asap ubat
nyamuk dan mungkin ia menurun kepada anak saya,” katanya. Menurut doktor
pakar pediatrik di Dinas Kesehatan Polewali Mandar, Sih Harjo Boko,
Adit menghidap penyakit pica iaitu kelainan keadaan pola makanan pada
kanak-kanak.
Penyakit itu disebabkan kekurangan zat besi dalam diri kanak-kanak
dan boleh pulih, bergantung kepada keprihatinan ibu bapa menjaga anak
mereka.