Suspek kes bunuh dan rompak pegawai AmBank di
Subang Jaya menjadikan bangunan serta rumah kosong sebagai lokasi
persembunyian selama 19 hari ketika dalam buruan polis.
foto-bernama |
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri
Dahlan berkata suspek bersembunyi di beberapa buah rumah serta bangunan
kosong sekitar Lembah Klang dan Johor.
"Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan
pengangkutan awam seperti bas dan teksi untuk keluar dari Lembah Klang
menuju ke Johor sejurus selepas kejadian pada 23 Oktober lepas.
"Ketika berada di sana (Johor), suspek juga cuba mendapatkan bantuan
sindiket pemalsuan dokumen pasport bagi melarikan diri ke negara jiran,"
katanya.
Suspek ditahan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada kira-kira 7 pagi Ahad.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam twitter beliau
pada Ahad, memaklumkan bahawa suspek ditahan di Johor serta mengucapkan
terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu polis.
Dalam kejadian 23 Oktober lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita
Abu Talib, 37, maut ditembak suspek ketika membuka peti besi dalam bilik
kebal bank berkenaan.
Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal
dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah
ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.
Suspek turut melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000. - BERNAMA
mujurlah suspek berjaya ditangkap
ReplyDelete