BATU PAHAT – Niat seorang anggota polis yang mahu meraikan pengesahan
jawatannya bersama kekasih terbantut, apabila bilik hotel disewanya
diserbu pihak berkuasa, kira-kira jam 7 malam kelmarin.
Lelaki berkenaan yang bertugas sebagai anggota polis di Terengganu
ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat kerana berkurung
dengan kekasihnya sehingga menimbulkan syak.
Timbalan penguat kuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan
berkenaan ditahan dalam operasi bersepadu Jaij Batu Pahat, Muar, Kluang
dan Johor Bahru dalam membanteras maksiat sekitar Ayer Hitam.
Katanya, pihaknya beberapa kali mengetuk pintu bilik berkenaan, namun
tiada jawapan. Setelah menunggu lama dan pihak penguat kuasa mahu
memecah pintu barulah ia dibuka.
“Sebaik pintu berkenaan dibuka, pihak kami mendapati seorang lelaki
yang lengkap berpakaian begitu juga pasangannya. Bagaimanapun,
kedua-duanya berada dalam ketakutan ketika diambil keterangan.
“Pasangan lingkungn 20-an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun
selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai
penguat kuasa mendesak memecah pintu, barulah pintu dibuka.
“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan mendapati, lelaki dan pasangannya
yang berada di dalam bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya.
Saiful berkata, pasangan terbabit kini ditahan dan akan didakwa di
bawah Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor
1997.
Katanya, pasangan terbabit juga akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan berhubung kesalahan itu selesai.
Menurutnya lagi, operasi bersepadu ini bertujuan membendung kegiatan
sumbang seperti judi dan maksiat yang semakin menular di kalangan umat
Islam terutama anak muda sejak akhir-akhir ini.
“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan lebih kerap dengan
tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan berpotensi
kelakuan seperti ini,” katanya.
Saiful berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan enam individu
kerana melakukan kesalahan berjudi yang kemudiannya dibawa ke Balai
Polis Ayer Hitam untuk proses dokumentasi sebelum dituntut waris
masing-masing.
“Kesemua lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 18 Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana membeli atau berada dalam
kedai judi.
"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.-sinar harian